Thursday, December 8, 2011

Review Filem: The Wildest Dream



The Wildest Dream, kena dengan tajuknya adalah sebenarnya sebuah filem dokumentari daripada National Geographic mengenai puncak teragung dunia, Everest. Namun ia lebih fokus kepada jasad yang dianggap manusia pertama menawan Everest iaitu George Mallory, yang kemudiannya ditemui terdampar di lereng gunung tersebut 75 tahun kemudiannya.

Atas dasar puncak tertinggi di dunia pada ketinggian 29000 kaki, ianya lebih 2 kali ganda Gunung Kinabalu atau juga 4 kali ganda ketinggian Gunung Tahan.Pada altitud tersebut, adalah mustahil bagi manusia untuk membuat penempatan.

Kembali kepada kisah Mallory, walaupun tiada bukti yang tepat menunjukkan dia telah sampai di puncak, namun ia disokong oleh dua sebab yang boleh diterima. Pertama ialah tempat mayatnya dijumpai iaitu lebih ke bawah lereng berbanding tempat terakhir dia dilihat iaitu hampir di puncak, menunjukkan dia mungkin dalam perjalanan turun semasa tragedi meragut nyawanya berlaku. Keduanya pula ialah kerana kehilangan foto isteri bersama jasadnya. Foto tersebut berkemungkinan telah ditinggalkan di puncak Everest kerana dia telah berjanji untuk mengabadikan foto tersebut di puncak, sebagai tanda cinta abadi terhadap isterinya, Ruth.

Dihantui tragedi tersebut, dan juga untuk mendapatkan jawapan samada Mallory betul-betul sampai di puncak ataupun tidak, Pada 1999 seorang pendaki, Conrad Anker telah cuba melakon kembali saat Mallory mendaki pada zamannya. Dengan menggunakan pakaian yang sama, kasut mendaki yang sama dan semua pelengkapan lain yang sama, juga pada musim yang sama iaitu di awal monsun, dia mengikut trek yang dibuat Mallory bermula dari Base Camp yang jauhnya 12 batu dari puncak, sehinggalah dia sampai di tempat yang paling mencabar iaitu Second Step, yang hanya beberapa ratus kaki dari puncak. Walaupun kini telah terdapat tangga besi yang disediakan oleh pendaki China, namun Conrad bersama seorang temannya, Leo hanya mendaki tebing curam berbatu tersebut menggunakan kudrat badan semata-mata sama seperti yang dilalui Mallory. 

Mampukah dia mendaki sampai ke puncak dan membuktikan yang Mallory sebagai manusia pertama menakluk Everest, ataupun juga menerima nasib yang sama seperti dialami Mallory? jawapannya dapat diketahui pada penghujung filem tersebut.


1 comment:

Al said...

happy to help :)

Related Posts with Thumbnails