Pages

Friday, December 30, 2011

Rentis Trek Baru Gunung Rajah


Log Pendakian

22/12/2011
12.30am- Sampai di Air Terjun Chamang, Bentong dari Shah Alam. Tido di sini sementara tunggu pagi.
9.30am- Mula gerak melalui jalan balak.
10.30am- Sampai Pintu Rimba (rehat 30 minit)
1pm- Sampai Sungai Y, lunch break selama 1 jam
2.40pm- Sampai pula di Lata Naning, rehat 30 minit lagi
4.30pm- Sampai di Kem Batu Hijau dan bermalam di sini

23/12/2011
9am- Mula rentis trek ke puncak dari Batu Hijau, secara daypack
12.30pm- Sampai di permatang baru dan jumpa trek yang sudah dikenalpasti, maka kami pun turun kembali
2pm- Sampai semula di Batu Hijau, bermalam di sini lagi

24/12/2011
8.15am- Sekali lagi menuju puncak melalui trek baru
8.30am- Sampai last waterpoint (baru)
9.30am- Mula lalui permatang
10am- Sampai Kem Permatang (baru)
11.35am- Akhirnya sampai di puncak Gunung Rajah! Ambil masa rehat 30 minit di puncak sebelum turun semula
7pm- Sampai kembali di Air Terjun Chamang dan terus ke Stesen Bas Bentong
**********************

Ekspedisi akhir tahun 2011 aku adalah ke Gunung Rajah setelah diajak untuk buka trek baru di sana. Trek lama telah ditutup demi keselamatan pendaki setelah kawasan berbatu dekat puncak dilihat boleh membahayakan. Walaupun secara tidak rasmi, aku merupakan antara yang awal merasmikan trek baru ni.

Trek baru Gunung Rajah boleh dikatakan lagi menarik dari trek sebelumnya. Ia menawarkan laluan permatang yang dipenuhi view di sekelilingnya sebab hanya pokok setinggi dada sahaja di kawasan tersebut. Lagi menarik, jarak Genting Highlands lebih dekat berbanding di puncak, dan pastinya phone line adalah full bar!

Tahap pendakian pula boleh dikatakan lebih hardcore, terdapat juga kawasan curam berbatu yang perlu dipanjat pakai tali. Namun yang sedikit mendukacitakan, last waterpointnya adalah sangat jauh, 3 jam sebelum sampai puncak.

Perihal bila trek baru ni boleh digunakan secara rasmi belum tahu lagi bila. Pihak bertanggungjawab senang mengusahakannya dengan kerjasama jabatan hutan. Aku sendiri pun tak pasti.

Mood bergelak ketawa di pagi hari. Lokasi:Pintu Rimba

Lunch time. Lokasi: Sungai Y
Menu: Roti canai dan durian!
Di Kem Batu Hijau untuk bermalam. Setiap siang dan malamya ditemani hujan..
Ruangan dapur
Sedih sebab tidak ada view. Lokasi: Permatang

Kem Permatang baru
Suasana hampir di puncak
Laluan curam dan perlukan bantuan tali. Lokasi: Batu Ular
Batu Ular!
Lagi Batu Ular
Sampai sudah di puncak, masih tiada view, kabus je banyak..sedih
ZzzzzzZ......

Wednesday, December 21, 2011

Nikmat Berhujung Minggu


Hujung minggu lepas barulah dapat merasa kembali betapa indahnya berhujung minggu di rumah dengan aktiviti-aktiviti rilek dan santai. Nak buat macamana, sejak berbulan-bulan lepas, setiap kali masuk hujung minggu je akan masuk hutan, sampai lupa dah macamana perasaan pagi-pagi layan cerita kartun kat tv, pergi pasar minggu dan pastinya lepak-lepak dengan geng serumah yang semua pun sedang bercuti. Minggu lepas baru dapat rasa kembali nikmatnya..huhh. Selain tu dapat jugak buat aktiviti-aktiviti sampingan, macam memanjat a.k.a climb yang dah lama aku tinggalkan.

Petang sabtu tu pergi teman member pasang route baru untuk wall di Shah Alam Ektreme Park, Seksyen 13. Masa tu jugak sepatutnya ada geng nak wat competition tapi tak jadi sebab hujan. So petang tu aku sekadar teman geng yang nak tukar route ni je lah sambil tolong tengok-tengok.









Ahad pula ingat nak duk rumah je. Tapi bila buka je fb, ada  geng ajak pergi rock climb, apalagi terus on la. Tapi semua pakat lengai nak gerak pagi tu, last-last petang pukul 3 baru gerak. Kami ke Gua Damai je, ok juga untuk beginner macam aku ni, takkan terus nak try Nanyang, Nyamuk, Volleyball, Red Rock, Comic, White Wall, Roadshow semua tu kan..hah. Yang lain tu lain hari la pula.

Sampai je sana ramai sangat dah orang, route pun banyak yang orang dah conquer. So kami pasang je lah route yang ada tu. Dan sempatlah juga merasa main lead satu round, lepas tu terus lenguh-lenguh tangan.





 






Monday, December 19, 2011

Gunung Popular Di Cameron Highlands

 
Gunung Berembun a.k.a. Beremban (nak bezakan Berembun di Terengganu) merupakan gunung yang sering didaki pengunjung di Cameron Highlands. Berbanding gunung lain di Cameron Highlands seperti Brinchang (yang ni mungkin paling popular sebab boleh naik dengan kereta), Irau, Jasar, Perdah mahupun Mentigi, Suku serta Yellow dan Pass, Berembun menawarkan lebih tarikan seperti trek yang boleh dikatakan santai dan masa yang singkat untuk sampai di puncak, mempunyai empat trek berlainan dan yang paling utama, di kakinya terdapat tapak perkhemahan sempurna dan selesa, iaitu Kem Sungai Pauh.

Pada hujung 2 minggu yang lepas, kumpulan kami yang terdiri daripada beberapa orang geng lama telah berkunjung ke sini mengiringi kelab lama kami iaitu  Kembara Kesatria, maklumlah rindu lama sudah tak berjumpa sejak masing-masing ada hal sendiri sekarang, kira macam reunion jugak lah ni. Aku yang dari Shah Alam bertolak sedikit lambat dan sampai di Kem Sungai Pauh pada pagi 10hb. Walaupun tidak pernah sampai ke sini, namun kami sampai dengan selamat tanpa sesat sebab sedia hafal jalan ke sini berdasarkan pembacaan di blog kawan-kawan pendaki. Lagipun jalan ke sini tidaklah begitu merumitkan.

Untuk sampai di Kem Sg Pauh, dari jalan utama Tanah Rata-Brinchang, anda hanya perlu masuk simpang samada sebelum atau selepas padang golf, tidak kira anda dari Tanah Rata ataupun Brinchang. Kemudian anda akan melalui satu roundabout kecil dimana anda perlu mengikut arah ke Taman Sedia berdasarkan signboard di situ. Sebelum sampai di kawasan perumahan Taman Sedia, terdapat satu selekoh yang mana akan ternampak pintu gerbang tertulis Jabatan Hutan. Anda hanya perlu masuk kesitu sehingga sampai di balai pengawal dan masuk simpang kiri selepasnya untuk ke tempat parking Kem Sg Pauh.Untuk menginap di sini, bayaran masuk RM5 seorang dikenakan namun baru-baru ini, terdapat geng yang dikenakan RM10 seorang, tidak pasti kenapa.

Bila masuk sahaja ke kawasan kem, suasana nyaman dan dingin mula terasa. Malah jika mulut berasap semasa bercakap adalah perkara biasa di sini, tambahan lagi di waktu pagi. Di sini juga disediakan pelbagai kemudahan seperti tandas, bilik mandi, surau, gazebo dan tembat bbq, selain tapak khemah. Malah bekalan elektrik juga disediakan di surau dan gazebo di situ. Jadi anda tak perlu lagi risau mencari tempat untuk cas bateri telefon bimbit anda.





Selepas bersarapan, kami yang seramai lebih kurang 100 orang pun mula mendaki pada 8.45 pagi. Guidenya hanya seorang jurulatih yang pernah datang mendaki pada beberapa tahun yang lepas. Pendakian kami bermula di belakang kem iaitu melalui Jungle Walk No. 6. melalui kawasan berlopak di permulaan treknya. Checkpoint 2 iaitu Persinggahan PLB berada kira-kira 2 km di hadapan.


Kami sampai di Persinggahan PLB dalam masa sejam. Di sini terdapat satu bangsal yang sesuai untuk rehatkan diri buat seketika. Dan di sini juga terdapat simpang untuk turun ke Mardi melalui Jungle Walk No. 5.



Kami teruskan pendakian dan dalam masa 15 minit kami bertemu lagi satu simpang yang mana untuk ke puncak, kami perlu masuk simpang kanan. Selepas itu trek mula mencanak dan sedikit meletihkan. Sebelum betul-betul sampai di puncak, kami tertipu oleh cahaya silau seakan sampai di puncak padahal bukan pun, sebanyak dua kali pula kena macam tu. Akhirnya pukul 11 pagi barulah kami sampai di puncak Gunung Berembun.

Di puncak yang sempit itu, kami yang ramai ini telah memenuhi segenap penjuru. Nasib baik terdapat ruang di sebelah puncak yang juga merupakan trek untuk turun ke bawah. Pemandangan dari puncak tidaklah begitu luas, hanya satu arah sahaja anda boleh lihat pemandangan rumah-rumah dan jalanraya di bawah, namun tidak pasti dari belah mana.

Kadang-kadang kabus yang banyak menitis telah memaksa kami memasang flysheet untuk berteduh dan selepas kira-kira sejam di puncak, kami mula beransur turun. Kali ni kami melalui trek yang satu lagi di puncak tersebut.






Kira-kira 10 minit perjalanan turun, kami bersua dengan dua lagi simpang, satu ke Air Terjun Robinson (Jungle Walk No. 8) dan satu lagi ke Mardi melalui Jungle Walk No. 7. Kami pilih untuk melalui Mardi.



Seperti dijangkakan, kami sampai di kawasan tanaman strawberi kepunyaan Mardi yang berakhir di belakang pusat tersebut. Perjalanan turun sekadar 1 jam sahaja. Seterusnya untuk balik semula ke Kem Sg Pauh, kami berjalan melalui Hutan Lipur Parit Falls yang berakhir di depan Taman Sedia dan seterusnya sampailah kembali di Jabatan Hutan.







Maka berakhirlah kembara pendakian kami di sini. Untuk kali ini kami mendaki melalui Kem Sg Pauh dan turun melalui Mardi (Jungle Walk No. 7). Untuk lain kali, aku mahu merasa pula dua lagi trek yang belum dilalui, iaitu melalui Robinson Waterfall (Jungle Walk No. 8) dan juga satu lagi trek dari Mardi (jungle Walk No. 7).

Sebelum pulang, kami bergambar kenangan bersama. Dapat juga kami berkumpul bersama setelah masing-masing menyepi setelah berkerjaya. Kami puashati dapat merasa kembali kenangan suatu ketika dahulu walaupun berapa kerat sahaja yang datang. Dan harapnya kami dapat terus beraktiviti bersama lagi  selepas ini.




tip perjalanan: Kalau boleh, elakkan berkunjung ke Cameron Highlands pada hari ahad. Masa aku nak balik haritu, jalan jam dengan sangat teruk, dari Rata Rata hinggalah atas lagi Brinchang (Kea Farm), lebih 5 km tu. Jadi rancanglah perjalanan anda dengan sebaiknya :)